TEMPAT
MEMBELI-BELAH
Pasar Besar Siti Khadijah
Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah
ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada
nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Dato' Bentara Setia Tuan Guru
Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa,
memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita. Satu pemandangan yang unik di
pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum
wanita yang terkenal dengan minat berniaga. Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan
berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti
ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada
barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang
sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi
berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling
"tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan
seperti kuih "tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung
pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat
2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.
Bazar Tok Guru
Terletak berhampiran Padang Perdana dan
Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu. Menempatkan gerai-gerai jualan
pelbagai jenis barangan. Dibina bagi menggantikan Pasar MPKB dan Pasar Arked
Uda yang sudah tidak sesuai memandangkan terletak di kawasan dalam pembangunan
dan juga didapati tidak sesuai atas faktor-faktor keselamatan.
Selain menjual pakaian, makanan dan
barangan dapur, beranika barang perhiasan seperti perak, tembaga dan barangan
ukiran kayu juga boleh didapati di sini.
KB Bazar
KB Bazaar merupakan sebuah lokasi baru
perniagaan di bandar Kota Bharu dijangka muncul sebagai lokasi 'bisnes'
terulung di Kelantan sekiranya mendapat sokongan padu golongan usahawan dan
penduduk tempatan.
KB Bazaar merupakan satu lokasi
perniagaan strategik untuk Bumiputera. Ia terletak di Jalan Hamzah,
bersebelahan dengan KB Mall.
Produk yang ditawarkan di KB Bazaar
termasuk batik, barangan perak, hiasan dalaman, pakaian siap, kain ela,
barangan antik, kraftangan rakyat Kelantan dan peralatan elektrik.
KB Mall
KB Mall merupakan sebuah kompleks pusat
beli-belah yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Ia merupakan tempat membeli
belah yang stategik berada di laluan utama ke Pusat Bandar Kota Bharu dan
bersebelahan dengan KB Bazar.
Kompleks ini dibuka pada tahun 2005.
Didalam pusat membeli belah ini terdapat sebuah pasaraya iaitu Pacific
Hypermarket. Di tingkat atas, terdapat medan selera.
Menjadi tumpuan utama pengunjung
tempatan dan luar pada setiap hari. Pasar ini menjalankan aktiviti perniagaan
secara harian di mana pada sebelah pagi hingga tengahari aktiviti perniagaan tertumpu
kepada aktiviti penjualan barang keperluan harian termasuklah barangan basah
manakala pada sebelah malam hingga ke awal pagi pula aktiviti perniagaan pula
tertumpu kepada aktiviti penjualan barangan berbentuk pakaian dan cenderamata.
PANTAI
Pantai Bisikan Bayu
Pantai Bisikan Bayu atau 'Pantai Dalam
Rhu' terletak di Pasir Puteh, bersebelahan Semerak, 50 km dari Kota
Bharu,Kelantan
Pantai Cahaya Bulan
Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu
pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km
dari Kota Bharu. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi,
suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di
pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang
menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih
menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk
kepada pantai ini sebagai PCB.
Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2
kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan
pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula
menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah
menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan,
khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para
pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan
dan gerai, dan tandas awam.
Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu
akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah
kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan
songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.
Pantai Tok Bali
Pantai Tok Bali ialah sebuah pantai yang
terletak di Kelantan, Malaysia.
Pantai Tok Bali terkenal dengan
kelebihannya yang tersendiri. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan bagi penduduk
tempatan malah menjadi kemestian bagi pelancong asing untuk menikmati keindahan
pantai di Tok Bali. Bagi penduduk yang bekerja sebagai nelayan, Tok Bali
merupakan tempat untuk mereka mencari rezeki kerana ia terkenal dengan hasil
penangkapan yang boleh membawa keuntungan kepada nelayan-nelayan.
Tok Bali juga merupakan destinasi
penjualan hasil-hasil penangkapan oleh nelayan-nelayan. Kita dapat meperolehi
hasil - hasil tersebut dengan harga yang berpatutan di samping dapat menikmati
kesegaran hasil - hasil tangkapan.
Pantai Irama
Pantai Irama terletak di Bachok,
Kelantan menghadap Laut China Selatan. Pantainya ditambak kerana hakisan akibat
ombak laut yang kuat terutama pada musim tengkujuh ketika Angin Monsun Timur
Laut bertiup (November - Mac).
Pantai Irama terletak di pinggir Bandar
Bachok, kira-kira 20 km dari Kota Bharu melalui jalan tempatan Kota
Bharu-Tawang-Bachok yang mengambil masa kira-kira 30 minit.
Kemudahan yang disediakan ialah gerai
jualan, tandas awam, surau, wakaf, tempat letak kerata yang sistematik,
dataran, tempat menyalin pakaian dan taman permainan kanak-kanak.
Pantai Sri Tujuh
Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat,
Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana terdapat 7 buah teluk atau lebih
di sini. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik kepada pengunjung terutama
dari Kelantan. Pantai Sri Tujuh berhampiran dengan Pengkalan Kubur dan Stesen
keretapi Tumpat. Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh ke sini dengan menaiki
kereta api dengan bayaran RM32 seorang. Banyak teksi dan kereta sewa di stesen
kereta api untuk pergi ke pantai.
Sebuah resort terapung telah dibina di
Pantai Sri Tujuh. Ia dikenali sebagai Resort Sri Tujuh, lengkap dengan kolam
mandi , gelanggang futsal dan padang latihan bermain golf . Pengunjung akan
makan di gerai-gerai yang disediakan sambil menikmati panorama laut dan mereka
yang menunggang bot ski. Bot nelayan kelihatan pulang ke pangkalan pada
waktu-waktu tertentu.
Selain itu terdapat surau dua tingkat
yang agak besar di sini. Pada hujung minggu, ada di antara pengunjung
mendirikan khemah sambil memancing ikan.
Pantai Sabak
Pantai Sabak mempunyai sejarahnya
tersendiri dalam era penjajahan di Tanah Melayu. Ini adalah kerana di pantai
inilah tentera Jepun buat pertama kalinya mendarat di Tanah Melayu semasa
perang dunia kedua pada 8 Disember 1941.
Walaubagaimanapun, kini keindahan Pantai
Sabak sudah pupus kerana diancam dengan hakisan ombak yang teruk dan pantai
tersebut kini sudah tidak sesuai untuk menjadi destinasi perkelahan.
GUNUNG
Bukit Kemahang
Bukit Kemahang merupakan sebuah bukit
yang terdapat di negeri Kelantan, Malaysia. Tingginya 876 meter.
Bukit Kemahang mempunyai kawasan hutan
Dipterokarp Bukit, dan hutan Dipterokarp Atas satu rancangan pembangunan tanah
oleh Felda telah dibangunkan di sini. nama kemahang di
gunakan bagi penempatan ini yang di
kenali dengan kemahang 1, kemahang 2 dan kemahang 3. peneroka kemahang 1 - 450
keluarga peneroka kemahang 2 - 450 keluarga peneroka kemahang 3 - 400 keluarga
semua peneroka di sini adalah rakyat
negeri kelantan dari pelbagai daerah.
Gunung Rabong
Gunung Rabong merupakan sebuah gunung
yang terdapat di negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Gunung Rabong mempunyai
ketinggian setinggi 1,539 meter.
Gunung Rabong mempunyai kawasan hutan
Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas dan kawasan hutan Montane.
Gunung Stong
Gunung Stong merupakan salah satu gunung
tertinggi di Kelantan dengan ketinggian 1,442 meter. Gunung Stong terletak
di Hutan Simpan Dabong, Kelantan. Gunung Stong menyediakan hutan yang menarik
dan mengasyikkan yang penuh dengan khazanah alam, hidupan liar seperti gajah.
Gunung Stong menempatkan salah satu air
terjun yang merupakan kelima dalam senarai 10 tempat yang menarik dan tertinggi
untuk ekotourism di Malaysia. Gunung Stong memang tersohor dengan Air Terjun
Jelawang yang tingginya 305 meter dan tidak mustahillah air terjun ini
merupakan tertinggi di Asia. Antara panorama-panorama yang menarik sekitar
Gunung Stong ialah:
Gunung Ayam yang terletak bersebelahan
Gunung Stong di Hutan Simpan Dabong. Suasana dalam hutan ini sungguh
mengasyikkan dengan kicauan burung dan unggas-unggas tetapi ia juga merupakan
habitat bagi haiwan-haiwan liar seperti gajah dan harimau.
Ketinggian Gunung Ayam ialah 1504 meter
iaitu 70 meter lebih tinggi dari Gunung Stong. Sekiranya perjalanan untuk menawan
puncak Gunung Stong memakan masa selama 3-4 jam, Gunung Ayam pula memerlukan
masa tambahan sebanyak 4-5 jam untuk sampai ke puncak. Namun untuk menempuhi
perjalanan seharian ia memakan masa sekurang-kurangnya 9 jam.
Pendakian ke puncak Gunung Ayam penuh
dengan cabaran. Ia memerlukan kesihatan fizikal dan mental yang baik.
Jalan-jalan yang harus ditempuhi penuh dengan ranjau yang menggugat kesabaran,
namun pendaki-pendaki akan disajikan dengan udara sejuk yang nyaman dan segar.
Sekiranya anda ingin berkhemah di puncak Gunung Ayam, jangan lepaskan peluang
menikmati keindahan panorama matahari terbit yang membelah langit biru yang
dipenuhi dengan gumpalan-gumpalan awan.
Setelah penat pendakian yang ditempuhi,
anda akan sampai ke air terjun Gunung Stong untuk menikmati airnya yang sejuk
dan dapat menghilangkan kepenatan.
BERSANTAI
Jeram Pasu
Jeram Pasu adalah merupakah salah satu
kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Pasir Puteh,
Kelantan. Jeram Pasu dihubungi dengan jalan raya bertar dan pengunjung boleh ke
sana dengan menaiki perkhidmatan bas awam, kereta persendirian dan teksi. Jeram
Pasu terletak kira-kira 8 kilometer dari simpang Kampung Padang Pak Amat, Jalan
Pasir Puteh - Kota Bharu.
Sejarah:- Mengikut sejarah dan
cerita masyarakat setempat, Jeram Pasu merupakan air terjun yang terawal
dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan.
Kemudahan:- Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) iaitu Majlis Daerah Pasir Puteh telah membina banyak kemudahan seperti
tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai serta
kolam mandi buatan. Pengunjung juga boleh beriadah dengan menggunakan trek
denai hutan yang dibina oleh pihak PBT.
Jeram Lenang
Jeram Linang (kadang-kadang ditulis
Jeram Lenang) merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun
yang terkenal di Kelantan. Jeram Linang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, dalam
Jajahan Machang, Kelantan dan dihubungi dengan jalan raya bertar. Pengunjung
boleh ke sana dengan menaiki kereta persendirian dan teksi.
Sejarah:- Mengikut sejarah, Jeram
Linang merupakan antara kawasan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai
kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan. Air terjun Jeram Linang adalah dari
jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai
dari kawasan Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu dan Jerteh, Terengganu.
Kemudahan:- Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) iaitu Majlis Daerah Machang telah membina banyak kemudahan seperti tempat
letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai, chalet dan
tapak perkhemahan.
Jaringan jalan raya yang baik telah
dibina oleh pihak kerajaan bagi memudahkan para pegunjung melawat Jeram Linang.
Jeram Linang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui
jalan Pasir Puteh - Machang) dan 15 kilometer dari Bandar Machang (melalui
jalan Machang - Wakaf Linchong).
No comments:
Post a Comment